SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS12 | Selangor FC 3-2 Kedah Darul Aman FC | 3 Mata Penting Terjamin!

May 25, 2023 - FAS

Selangor FC terus mengekalkan tiga mata penuh dalam aksi penuh debaran Liga Super 2023 semalam menentang Sang Kenari di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan keputusan perlawanan 3-2. 

Statistik perlawanan melihat 58% penguasaan bola, 83% ketepatan hantaran, 10 percubaan dan 10 sepakan penjuru. Pasukan Kedah Darul Aman FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-6 perlawanan, kemudian penyerang Selangor, Ayron Del Valle menyamakan kedudukan pada minit ke-23, lima minit kemudian Kedah Darul Aman FC kembali mendahului dengan jaringan kedua pada minit ke-28, sebelum tamat separuh masa pertama, Faisal Halim menyamakan kedudukan pada minit ke-40 perlawanan. Noor Al-Rawabdeh menjadi wira perlawanan ini setelah berjaya menjaringkan gol kemenangan Gergasi Merah pada minit ke-70 perlawanan.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, akui perlawanan besar semalam diperlukan bagi membantu pemain-pemain mematangkan persembahan mereka di masa hadapan.

"Kalau dalam bola sepak, saya rasa perlawanan tersebut menunjukkan karakter dan juga semangat juang yang tinggi daripada pasukan. Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain dalam pasukan kerana mereka berjuang habis-habisan semalam. 

Bukan mudah untuk menang dalam perlawanan ini, Kedah beraksi dengan baik, kalau kita lihat, mereka mempunyai  kombinasi yang cukup berbahaya. Kita juga tahu kelebihan pasukan Kedah Darul Aman FC dengan pengawalan serta hantaran-hantaran bola yang baik. Sebagai seorang jurulatih, saya merasakan pemain-pemain perlu hadapi perlawanan sebegini untuk masa hadapan mereka," jelas Tan Cheng Hoe

Daripada perlawanan #SELKDA semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Ayron Del Valle terus menjaringkan gol

Penyerang berasal dari Columbia ini terus menambah jumlah jaringan gol beliau telah menjaringkan untuk Selangor FC. Ayron telah menjaringkan gol pertama pasukan pada minit ke-23 perlawanan. Secara keseluruhan, Ayron telah menjaringkan 10 gol dalam tujuh perlawanan. Beliau juga terus kekal berada di kedudukan kedua penjaring kedua terbanyak liga setakat ini.

'Mickey' menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut

Faisal Halim terus menjadi ancaman berbahaya skuad Gergasi Merah kepada pasukan lawan dengan asakan-asakan yang berterusan dari mula hingga akhir perlawanan. Faisal telah menjaringkan enam gol dalam saingan Liga Super 2023 dan #SELKDA merupakan perlawanan keempat berturut-turut beliau meledak jaringan peribadinya. Selain itu, Faisal kini merupakan Penjaring Tempatan Terbanyak Liga setakat ini.

Yazan pertahanan terbaik pasukan menurut Tan Cheng Hoe

Ramai yang mungkin tidak berpuas hati dengan persembahan Pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab semalam namun Ketua Jurulatih Selangor merasakan sebaliknya, "Yazan mungkin terlibat dengan jaringan pihak lawan namun saya pilih untuk tidak mengeluarkan beliau supaya Yazan dapat menunjukkan 'Yazan' yang sebenar, seorang pemain pertahanan terbaik dalam pasukan. Hasilnya, separuh masa kedua, beliau kembali kepada Yazan yang saya kenali dan bagi saya beliau mengawal perlawanan dengan baik,".

Alex hampir menjaringkan gol

Antara saat yang diingati dalam perlawanan #SELKDA semalam adalah percubaan Alexander Agykarwa yang hampir menjaringkan gol pertama beliau untuk skuad Selangor FC. Alex merupakan antara pemain tonggak Gergasi Merah yang menjadi antara individu pertama yang akan membantu mematahkan serangan pasukan lawan. Alex juga merupakan antara ancaman yang sukar bagi pihak lawan untuk berdepan dengan skuad Selangor FC. 

Aliff Haiqal Lau mendapat pujian

Aliff Haiqal Lau, pemain yang berpotensi tinggi dipuji kerana memanfaatkan peluang yang diberikan dengan baik. 

“Saya rasa beliau beraksi dengan begitu baik pada malam semalam. #SELKDA merupakan perlawanan yang besar untuk beliau tetapi secara keseluruhan beliau beraksi dengan baik,” menurut Tan Cheng Hoe.

Pihak pengurusan bangga dengan semangat juang yang dipamerkan oleh pasukan. Semoga pasukan terus kekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah! 

Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada 10,000 penyokong yang telah hadir ke stadium MBPJ semalam dalam menjayakan #SFCLadiesNight serta menyokong pasukan sehingga tamat perlawanan.

Demi Kebanggaan!